Nurul Wahab.. bekas isteri Ajai. merupakan seorang penyanyi yang bersuara lunak. kulit hitam manis berasal drpd penang.
gaya hidup dia yang agak sosial & cara pemakaian dia cukup membuatkan aku tidak berkenan dengan penyanyi ini..
tetapi.. sedikit demi sedikit perasaan kurang senang aku pada dia terhakis.
aku mula membaca penulisan dia di laman blog nya.
kata-kata yang diluahkan oleh Nurul sangat direct tapi penuh dgn pengisian yg positive.
& aku yakin, Nurul seorang wanita yg baik. & sedang berusaha menjadi yg lebih baik. aku doakan yg terbaik buat Nurul.
aku akan kongsikan diantara luahan hati Nurul di blog nya.
SATU PEDOMAN SEMPENA HARI IBU… SELAMAT HARI IBU..
Posted on by nurulwahabdepp
Hari ibu menjelma lagi buat kesekian kalinya. Tahun ini tahun ke 10 aku meraikan hari ibu tanpa mak yang tercinta. Aku tahu dia di sana, di tempat yang terbaik buatnya.. Al Fatihah buat mak Salmah Binti Ibrahim. Arwah menghembuskan nafasnya di atas ribaan ku tanggal 1 Ogos 2003. Kisah hidup mak, penuh ranjau dan durinya. Arwah melahirkan 15 orang anak. Hasil perkahwinan pertama, arwah mempunyai 2 anak dan perkahwinan keduanya dikurniakan 13 anak-anak.
Emak seorang yang sangat hebat. Sepanjang hidupnya, apa yang dia tahu hanya berbuat baik dan berjasa kepada semua di sekelilingnya. Tugas sebagai jururawat lebih membuatkan hatinya jitu. Dia menjalankan tugasnya dengan baik. Mak seorang yang berhati mulia. Mak anak angkat pada pasangan Cik Mah dan Senawi. Arwah tidak kenal siapa ibu kandungnya sehingga usianya belasan tahun. Itupun setelah dia berkahwin. Tinggal bersama ibu angkat – boleh tahan juga mak ‘didera’. Cik Mah agak garang orangnya. Namun mak tak pernah melupakan ibu angkatnya itu. Dijaganya dengan baik sehingga di hari tuanya.
Mak seorang yang lembut hati. Perkahwinan pertamanya – satu lagi penderaan perasaan dan fizikal. Itu sedikit cerita yang sempat diberitahu arwah. Dia tak mahu bercerita lebih bimbang memburukkan nama insan yang pernah memberikannya dua anak. Emak seorang yang sangat kuat. Apa yang dilaluinya sepanjang hidupnya membuatkannya sangat tough. Bayangkan perkahwinan keduanya telah dikurniakan 13 orang anak. Kebanyakkan kami selang hanya 13 atau 14 bulan. Mak melahirkan anaknya batch by batch. Maksud aku, 3 orang setahun sekali dan break for 4 or 5 years. Kemudian ada lagi batch yang lain. Tahun terakhir mak melahirkan adik lelaki bongsu ku pada tahun 1989.
Mak seorang yang lembut dan sayangkan anak-anaknya. Ada juga yang spoil dek sifatnya itu! Tapi dah namanya ibu… Tak putus memberikan kasih sayang. Aku hormati mak aku lebih dari segalanya. Ibu adalah cinta kita yang sebenarnya. Memang kata orang seorang ibu bisa menjaga tak kira berapa ramai anaknya. Seorang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu. Tapi Alhamdulillah keluarga kami sentiasa mengenang jasanya dan kami sentiasa mengambil tahu akan hal arwah.
Aku yang jarang sekali balik ke kampung halaman aku, tak putus menelefon setiap hari dan tidak pernah aku tidak tunaikan permintaannya. Mak sering datang ke rumah ku di KL. Aku tahu bagaimana mak bersedih bila ada anak tidak mendengar katanya. Pernah berlaku di hadapan ku. Mak menangis. Sebagai anak, aku paling tidak suka buat mak menangis. Melihatkan insiden sedih yang pernah berlaku itu, aku berjanji pada diri aku, jangan sesekali buatkan mak berduka. Tunaikan segala permintaannya supaya dia gembira. Itu yang aku beritahu diri aku ketika usia aku yang masih mentah.
Arwah mak, sangat banyak berkorban demi anak-anaknya sepanjang hidupnya. Anak-anak hasil perkahwinan pertamanya yang amat dijaganya. Diberi pendidikan yang amat baik – sehingga sanggup bergadai demi memberi anak pendidikan yang baik. Mak tak pernah melaram dengan barang-barang kemasnya kerana semuanya dijual. Maklumlah anak ramai, mana cukup kalau dengan gaji sebagai seorang jururawat. Emak bukan seorang yang suka mengharapkan suami semata. Dia tidak pernah berkira.
Sungguhpun kami semua mengambil tahu akan segala hal kebajikan emak apabila kami semua telah dewasa, berlaku juga hal yang mengecewakan hati arwah. Aku masih ingat dengan satu adegan berebut mak – sort of. Kakak tiri menegur agar mak jangan digunakan oleh adik beradik yang lain untuk menjaga anak-anak mereka. Mak sayang cucu. Takkan dengar kesemua teguran itu. Aku pasti niat yang menegur tu supaya mak dapat rehat yang cukup setelah berpencen dari kerjanya. Insiden itu menyebabkan perbalahan keluarga; dan yang menegur tadi tu, merajuk dan langsung tidak mempedulikan mak. Mak menangis siang malam dek anak kesayangannya itu merajuk. Anak itulah yang dia banyak bergolok bergadai demi pelajarannya di luar negara sehingga sekarang mampu memegang sijil PHD. Anak keduanya dari hasil perkahwinan pertamanya itu memang seorang yang sangat bijak dan suka belajar.
Satu cerita dari insiden yang aku tak lupakan apabila mak terlalu rindu akan anaknya tapi tak mampu bersua muka. Diminta arwah kepada abang ku, tolong bawa dia pergi ke rumah anaknya yang merajuk itu. Dapat tengok bumbung rumah pun jadilah. Tiba di hadapan rumah itu, mak mengamati suasana rumah anaknya itu sambil menitiskan air mata. Cukup baginya untuk mengubat rindu melihatkan bumbung rumah anaknya. Kisah itu membuatkan aku terpanggil untuk memujuk si hati keras yang bijak pandai itu. Bukan dia seorang. Ada alliance nya.
Seorang lagi kakak aku yang binti nya sama dengan aku. Yang ini boleh tahan juga bijaknya dan seorang yang sungguh jelita. Dia putih, tidak seperti kami yang lain walaupun dari bapa yang sama. Kakak aku tu sungguh keras hatinya. Dek mendengarkan apa yang kakak tiri PHD nya sering ceritakan padanya, dia juga mengikut marah dengan mak yang kononnya terlalu memberi muka dan memanjakan anak yang lain sehingga sanggup menyusahkan diri sendiri menjaga cucu. Aku pasti niat mereka baik. Mereka mahu mak lebih banyak berehat. Tapi segalanya jadi lain dek cemburu.
Kakak aku yang cantik manis ini pernah tidak bertegur sapa apabila terserempak dengan mak di satu tempat makan. Dibuatnya seperti orang yang tidak dikenalinya. Mak menangis lagi. Aku yang mendengarkan kisah itu, langsung mengambil masa dan hubungi kakak tiri dan kakak aku tu. Cuba aku pujuk mereka supaya mak tak berpanjangan sedih. Rindu mak pada mereka sangat mendalam ketika itu. Kakak tiri aku tak hiraukan apa yang aku katakan. Hanya yang seorang itu agak sedikit lembut hatinya… Dia menghubungi mak dan berbaik semula.
Kakak tiri aku itu merajuk hingga setahun dengan arwah mak sehingga mak jatuh sakit. Tidak sangka pula serangan darah tingginya kali itu sehingga membawa maut. Mak kena strok. Strok yang pertama mak masih okay. Nasib baik kakak tiri aku itu sempat minta ampun semasa mak masih boleh bercakap. Dia bertuah kerana Allah berikan sedikit masa untuknya bertemu mak dan sempat berbicara dengannya. Allah itu maha adil. Tak dibiarkan hamba yang beriman padanya punyai dosa dengan ibunya sendiri. Lagipun katanya bercerita pada ku, sering dia berdoa di dalam solatnya mahu melihat apa yang berlaku tanpanya setahun, walaupun sehingga membawa maut. Doanya makbul. Setahun itu diberikan khabar duka buatnya dek terlalu berkeras hati dengan mak sendiri.. Mak pergi buat selamanya. Pengajaran yang Allah berikan padanya.
Mak meninggal di atas ribaan aku di rumah kakak tiri aku yang sulung di Shah Alam. Hari itu hari Jumaat. Mak pergi dengan tenang. Aku pasti arwah abah sedang menantinya di sana. Selepas mak pergi, anak-anaknya membawa haluan masing-masing. Kakak tiri aku tu… setiap hari bercakap dengan gambar mak. Diceritakan pada aku selepas mak pergi. Aku katakan padanya, itulah akibatnya jika hati terlalu keras. Tak membawa apa-apa kebaikan berbuat sedemikian dengan ibu sendiri. Aku tak pasti bagaimana dia sekarang sebab aku pun dah tak berhubungan dengannya dek satu insiden di dalam kes perceraian aku. Aku pasti dia tentunya menyesal sehingga ke hari ini. Aku harap insiden itu memberi satu lagi pelajaran padanya.
Maaf, aku tak hormat orang yang terlalu keras hatinya dengan insan yang melahirkannya. Jika dengan ibunya sendiri dibuatkan sebegitu, apatah lagi dengan adik beradik atau orang lain yang bukan darah dagingnya! Seorang ibu tempatnya amat mulia. Masakan boleh seorang anak membuat sebegitu pada ibu kandungnya sendiri. Berpelajaran tinggi tidak bermaksud punyai akal dan hati yang baik. Kebijaksanaan di dalam pelajaran tidak bermaksud dia bijak seluruhnya jika hati tidak sedikit pun punyai kebaikan.
Ini satu cerita di dalam banyak cerita yang pernah kita dengar. Sebagai satu perkongsian untuk dijadikan ikhtibar. Aku bukan mahu mengutuk darah daging aku sendiri. Jauh sekali memalukan mereka. Aku sayang keluarga aku; sepertimana mak sering mendidik kami untuk kekal bersatu. Ini sebagai satu pengajaran buat semua. Aku tak mahu bercerita tentang orang lain kerana aku sendiri ada cerita yang boleh dijadikan pedoman. Aku bersyukur kerana aku tidak pernah rasa menyesal semenjak mak pergi menemui Illahi. Aku tahu aku juga pernah buatkan mak sedih tapi tidak sehingga mak merendam rasa. Aku paling takut buatkan hati mak terguris. Ramai antara kami punyai sifat yang sedemikian. Kami tahu mak seorang yang banyak berkorban demi anak-anaknya dan liku hidupnya sangat hebat.
Pada yang masih ada ibu, kenanglah jasanya. Bahagiakan hidupnya. Beri apa saja kemahuannya kerana ketika kita kecil, apa sahaja yang kita minta, dilaksanakannya. Dibahagiakan kita sehingga kita bisa tersenyum dan ketawa kegirangan. Di saat kita berduka, dia menggembirakan. Di kala kita jatuh sakit, dia bersengkang mata menjaga. Apabila kita berjauhan dengannya, disusun doanya agar kita sentiasa selamat di dalam jagaan Yang Esa. Dijaga susun katanya dengan kita agar hati kita tidak berduka. Di kala kita memerlukan telinga untuk mendengar, dia sedia berada di sisi. Bahunya sentiasa terbuka untuk disandar anak-anaknya. Tiada had kasih sayang di dadanya. Dijaga baik supaya anaknya tidak putus menerima kasihnya. Bila khabar disampaikan padanya yang dia mengandungkan anaknya, betapa bersyukurnya dia. Apabila sakit melahirkan zuriatnya, ditahan dan dilawan sakitnya sehingga sanggup dia menyabung nyawanya demi seorang anak yang dikasihinya.
Bila tiada ibu, barulah kita tahu apa rasanya. Tiada lagi tempat mengadu. Bila ada ibu, kita kuat kerana ada orang dibelakang kita yang akan sentiasa bersama kita di dalam apa juga keadaan. Tanpa ibu, hidup umpama di padang yang gersang. Aku dah merasainya. Aku tahu. Tiada lagi doa seorang ibu diberikan pada aku. Doa ibu itu makbul. Amat terasa kehilangannya. Apa yang aku tuliskan ini juga buat anak ku Ayu Nazirah dan juga yang bakal dilahirkan kelak. Ketahuilah olehmu wahai anak-anak ku, kasih ku tidak berbelah bagi. Adanya kamu, hidup ku penuh berwarna umpama pelangi. Betapa bahagianya aku ada kamu.
Kisah ini buat pedoman kamu juga di masa yang akan datang. Buat semua, pulang dan peluklah ibu mu sementara ada. Enjoy every moment with her while she still here with you. Kenanglah jasanya. Beritahu padanya yang kamu sayangkannya. Itu dah cukup membahagiakan hatinya. Buat ibu di seluruh dunia, selamat hari ibu.